Kapal lakukan kerja pasang kabel komunikasi dikecuali dasar kabotaj mulai 1 Jun
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah menandatangani warta untuk pengecualian dasar kabotaj terhadap kapal yang terlibat dalam pemasangan dan penyelenggaraan kabel telekomunikasi bawah laut.
Berkuat kuasa 1 Jun ini, langkah itu membatalkan keputusan menteri sebelum ini, Wee Ka Siong yang menarik balik pengecualian itu pada 2020.
“Sejak 2020, syarikat teknologi Malaysia dan antarabangsa telah menyuarakan keperluan agar kerajaan mewujudkan rangka kawal selia progresif yang boleh menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi.
“Kerajaan Perpaduan komited dalam memacu pembangunan infrastruktur digital negara,” kata Loke dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada Rabu.
Pengecualian itu dibuat mengikut Seksyen 65U Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan terpakai untuk semua kapal pemasangan kabel yang terlibat dalam pemasangan, penyelenggaraan, dan pembaikan kabel telekomunikasi bawah laut yang mendarat di mana-mana pusat pendaratan kabel bawah laut di perairan Malaysia.
Pengembalian semula dasar pengecualian itu susulan usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan pelaburan asing dalam sektor teknologi, antaranya semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI).
Pada 1 Mac lalu dilaporkan kerajaan bersetuju melaksanakan pengecualian berkenaan susulan pelbagai sesi libat urus dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi maklumat antarabangsa, sepanjang tempoh beberapa bulan sebelum itu.
Loke ketika itu berkata, keputusan itu diambil bertujuan menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri pusat data dan merancakkan pertumbuhan ekonomi digital.
Sementara itu, kementerian mengumumkan Loke membatalkan pengecualian kabotaj bagi semua kapal yang mengangkut kargo dari mana-mana pelabuhan di Sarawak ke mana-mana pelabuhan di Semenanjung, Labuan, dan Sabah, dan sebaliknya.
Menurutnya, langkah ini atas permintaan kerajaan Sarawak.