KBS kaji keperluan rombak peruntukan geran program pembangunan sukan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksana kajian semula bagi melihat keperluan merombak peruntukan geran kepada program pembangunan sukan yang tidak mencapai prestasi memuaskan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kajian terhadap empat program itu membabitkan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Program Pembangunan Bola Jaring Negara (NNDP), Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) itu dilaksana melalui Majlis Sukan Negara (MSN).
“Di peringkat MSN kita ada NFDP, NNDP, NRDP dan NHDP dan setiap tahun, empat jenis sukan ini telah menerima geran daripada MSN untuk pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
“Tetapi ada banyak sukan lain telah meminta dan zaman sudah berubah, sekarang kita ada jawatankuasa di MSN untuk mengkaji bajet sama ada memadai atau tidak, keperluan rombak semula, atau ditambah lagi sedang dikaji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan temasya Sukan Sikh dan Piala Gurdwara ke-72 pada Rabu.
Temasya itu disertai 1,000 peserta bagi tujuh acara dipertandingkan iaitu hoki, bola sepak, badminton, bola jaring, golf, dart dan snuker
Pada perasmian itu, Hannah turut mengumumkan pemberian sebanyak RM50,000 di bawah peruntukan Menteri untuk Kelab Sukan & Rekreasi Sikh Kuala Lumpur, selain pemberian Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM38,000 bagi penganjuran temasya berkenaan.
BACA LAGI: KBS rancak Program Rakan Muda di semua daerah, usaha perkukuh integrasi nasional
Sementara itu Hannah mengulangi pendirian kerajaan untuk memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang.
Ia susulan ketiga-tiga sukan itu dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat kepada negara ketika menyertai kejohanan di dalam atau luar negara.