Nasional

KPKT berjaya pulih 20,489 unit perumahan swasta, nilai pembangunan kasar berjumlah RM14.89 bilion

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu mengumumkan sebanyak 177 projek iaitu sebanyak 20,489 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Menurut Aiman, Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value) adalah sebanyak RM14.89 bilion bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 30 April 2024.

Katanya, jumlah projek yang berjaya merangkumi 163 projek yang mempunyai Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (SPSP) termasuk 11 projek berstatus sakit kembali menjadi lancar dan tiga projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan.

“KPKT melalui TFST telah berjaya menyelesaikan sebuah projek perumahan swasta terbengkalai pada bulan Mac 2024 iaitu Projek Perumahan Taman Desa Barakah (Fasa 5), Tanah Merah, Kelantan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli.

“TFST Bilangan 3 Tahun 2024 yang telah diadakan pada 21 Mei 2024 baru-baru ini turut mengesahkan data-data terkini bagi projek sakit dan terbengkalai bagi pelaporan sehingga 30 April 2024.

“Statistik menunjukkan terdapat sebanyak 205 projek perumahan swasta lewat dan 438 projek perumahan swasta sakit manakala projek perumahan swasta terbengkalai masih kekal dengan 115 projek. Kesemua projek ini membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM189.67 bilion.

“Statistik projek perumahan swasta lewat dan sakit adalah dinamik, walau bagaimanapun ianya menunjukkan trend yang semakin menurun. Lawatan tapak dan pemantauan secara rapi merupakan agenda tetap dan terus dipergiatkan oleh pasukan KPKT,” katanya.

Terdahulu, Aiman telah menjalankan lawatan ke tapak Projek Pangsapuri Impian Meru, Klang dan menerima peruntukan sebanyak RM4.8 juta bagi memulihkan tiga projek perumahan swasta terbengkalai di Selangor melalui Inisiatif Belanjawan 2023 dari KPKT.

Related Articles

Back to top button