Semasa

KUSKOP salur RM2 juta kepada Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan RM2 juta kepada Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK).

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, replikasi cek bagi sumbangan itu telah diserahkan Menterinya Datuk Ewon Benedick kepada Ketua Pegawai Eksekutif suruhanjaya itu, Rusli Jaafar pada Rabu.

Hadir sama semasa penyerahan cek tersebut ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk R Ramanan.

Tambah kenyataan tersebut, TBKK diwujudkan bagi membantu koperasi-koperasi yang terjejas dan menghadapi masalah khususnya akibat bencana alam atau faktor-faktor lain di luar kawalan.

“Ia adalah meliputi kos sebahagian pembaikan kerosakan premis/aset/produk koperasi dengan jumlah maksimum RM30 ribu kepada koperasi yang layak.

“Ini dapat membantu membangunkan semula aktiviti ekonomi koperasi yang terjejas,” jelas kenyataan tersebut.

BACA LAGI: Kerajaan sedia dana RM100 juta bantu koperasi agromakanan

Ewon sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah TBKK daripada Rm1 juta kepada RM2 juta pada tahun 2023 dalam membantu koperasi di negara ini yang terjejas akibat bencana alam.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya turut memaklumkan, pengendalian tabung kecemasan tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan Peraturan-Peraturan Koperasi (Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi) 2010.

Related Articles

Back to top button