Anwar

PM Anwar sambut baik pengumuman Google labur RM9.4 bilion, komited sokong agenda kerajaan

Sebuah syarikat teknologi utama dunia, Google mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak USD2 bilion (RM9.4 bilion) bagi menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara pada Khamis.

Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pelaburan yang diterima ini dijangka akan membawa kesan berganda kepada ekonomi negara.

“Sekitar USD3.2 bilion (RM15 bilion) akan mewujudkan sebanyak 26,500 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti bahawa perencanaan kerajaan yang jelas selain menguatkan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu.

“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.

“Saya juga menyatakan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum dan kerjasama secara strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian.

“Ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini,” ujar Anwar melalui satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Anwar telah melakukan pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lalu.

Related Articles

Back to top button