Baucar buku RM100 mula disalur guna aplikasi DELIMa – KPM
Pemberian baucar buku melibatkan murid dan pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan disalurkan pada hari ini menerusi aplikasi Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa).
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia membabitkan pemberian baucar buku berjumlah RM50 kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dan RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
“Kaedah (pemberian baucar) murid dan pelajar log masuk aplikasi DELIMa menggunakan id dan password DELIMa dan klik ikon Kota Buku Digital.
“(Selepas itu) murid dan pelajar mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing, seterusnya mereka boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada ‘judul cadangan’ MADANI,” menurut kenyataan itu.
Setelah selesai memilih, murid dan pelajar boleh daftar keluar (check-out) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit).
“Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan,” kata kementerian itu.
KPM berkata, pemberian aucar itu mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
“Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid dan pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat.
“Pemberian baucar buku seperti diumumkan Perdana Menteri adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.