Anwar

Hubungan diplomatik Malaysia-China untuk kemakmuran rakyat, seluruh rantau – PM Anwar

Malaysia merupakan negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik bersama China sejak 50 tahun yang lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf bahawa hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tersebut telah membentuk semula landskap geopolitik di Asia.

“Pada 31 Mei 1974, kedua-dua negara kita memulakan perjalanan yang inovatif dengan menjalin hubungan diplomatik.

“Kerajaan Madani komited untuk memupuk hubungan penting ini untuk kemakmuran rakyat kita dan seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut menyatakan meskipun kedua-dua negara seringkali mempunyai jurang ideologi yang berbeza, pemimpin Malaysia dan China akan sentiasa berani berfikir di luar kotak hingga tercapai perdamaian meskipun berbeza pendapat.

“Langkah berani ini telah berkembang menjadi perkongsian yang kaya dan bermanfaat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menantikan lawatan rasmi Premier China, Li Qiang ke Malaysia untuk meraikan pencapaian hubungan diplomatik yang sudah mencecah 50 tahun tersebut.

Lawatan rasmi pertama Anwar ke China sebagai Perdana Menteri pada April 2023 menyaksikan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China daripada 19 MOU yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang, terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.

Menerusi lawatan keduanya ke Nanning pada September 2023, Anwar menyaksikan pertukaran tiga MOU bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, termasuk perjanjian antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group yang berpotensi mempunyai nilai eksport sebanyak RM2.5 bilion.

Related Articles

Back to top button