Nasional

Kerajaan beri jaminan isu miskin tegar di Sabah akan dinoktahkan Julai ini

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan masalah kemiskinan tegar di Sabah bakal diselesaikan sebelum akhir Julai depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemiskinan tegar di Sabah ketika ini dianggarkan hanya tinggal kira-kira 9,000 keluarga.

Isu kemiskinan tegar di Sabah menurut Anwar, adalah lebih serius berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor, justeru kerjasama bersepadu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diterus diperkukuh ke arah menyelesaikan masalah tersebut.

“Kemiskinan tegar ini maknanya uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum atau susu untuk bayi mungkin ada masalah (untuk membeli), sebab itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Kita mahu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai 2024. Ini keutamaan kita, kita boleh bincang pelbagai hal tetapi kalau anak-anak kita, keluarga kita tidak cukup makan, itu tanggungjawab yang kita (perlu) selesaikan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang Sabah, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar turut memberi jaminan untuk menyelesaikan segera mana-mana perkara disepakati antara kerajaan Persekutuan dan Sabah, seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang tidak mahu perkara itu tertangguh berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, juga telah diarahkan untuk mempengerusikan Majlis Tindakan MA63 sebagai platform untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Related Articles

Back to top button