Semasa

KPKT pulih 20,489 unit rumah terbengkalai sepanjang empat bulan pertama 2024

Sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 20,489 unit perumahan swasta melibatkan 177 projek.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia merangkumi 163 projek yang berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan, 11 projek yang berstatus sakit kembali menjadi lancar dan tiga projek terbengkalai.

Pemulihan itu jelasnya telah melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM14.89 bilion.

“Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah berjaya menyelesaikan sebuah projek perumahan swasta yang terbengkalai pada Mac lalu iaitu di Taman Desa Barakah (Fasa 5) Tanah Merah, Kelantan.

“Projek berkenaan telah diisytiharkan sebagai terbengkalai pada April 2022 dan baru-baru ini ia telah pun dipulihkan melalui kaedah penyelesaian pembeli,” katanya menerusi sidang akhbar di kementerian itu semalam.

Dalam perkembangaan sama beliau turut memaklumkan, TFST Bilangan 3 Tahun 2024 yang telah diadakan pada 21 Mei 2024 baru-baru ini turut mengesahkan data-data terkini bagi projek sakit dan terbengkalai bagi pelaporan sehingga 30 April 2024.

Statistik menunjukkan terdapat sebanyak 205 projek perumahan swasta lewat dan 438 projek perumahan swasta sakit manakala projek perumahan swasta terbengkalai masih kekal dengan 115 projek.

Kesemua projek ini membawa GDV sebanyak RM189.67 bilion.

“Statistik projek perumahan swasta lewat dan sakit adalah dinamik, walau bagaimanapun ia menunjukkan trend yang semakin menurun,” tambahnya.

BACA LAGI: KPKT mahu perkasa industri langskap sebagai sumber ekonomi baharu negara

Beliau sementara itu berkata, KPKT telah memperuntukkan RM4.8 juta bagi memulihkan tiga projek perumahan swasta terbengkalai di Selangor susulan lawatan tapak di Meru Klang baru-baru ini.

Peruntukan bagi menyiapkan projek-projek perumahan swasta terbengkalai tersebut sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) itu jelasnya merupakan obligasi sosial daripada Kerajaan Madani kepada para pembeli yang terkesan dengan projek perumahan swasta terbengkalai.

Related Articles

Back to top button