Pelaburan Google penting untuk jayakan reformasi pendidikan – KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik pengumuman Google untuk melabur RM9.4 bilion di Malaysia.
Pelaburan tersebut menurut KPM bakal memberi nilai tambah kepada usaha Kementerian Pendidikan (KPM) mempertingkatkan program celik kecerdasan buatan (AI) untuk manfaat murid dan guru.
Kementerian itu memaklumkan inisiatif seperti Gemini Academy dan Experience AI yang sedang berjalan adalah bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bertujuan melahirkan generasi fasih digital berdaya saing.
“Ia dilaksanakan menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan, penyediaan infrastruktur, infrastruktur dan kandungan yang berkualiti serta penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.
“Kerjasama strategik yang terjalin antara KPM dengan peneraju teknologi seperti Google adalah penting untuk pengukuhan pelaksanaan DPD serta untuk memastikan usaha mereformasikan pendidikan negara berjaya,” katanya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Khamis memaklumkan Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia.
BACA LAGI: Reformasi pendidikan diperkukuh, termasuk bidang AI
Komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).
Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI untuk pelajar serta pendidik Malaysia.