Sukan

Persekutuan salur RM50 juta kepada Sarawak untuk penganjuran SUKMA, Para SUKMA

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada negeri Sarawak bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan Para SUKMA.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya optimis untuk menjadi tuan rumah yang baik bagi menganjurkan temasya itu walaupun peruntukkan diterima lebih rendah dari yang dipohon kerajaan negeri.

“Kami cukup bertuah kerana Sarawak mendapat dana yang baik berbanding negeri lain.

“Kami tidak merungut mengenai isu itu kerana pada akhirnya apa yang lebih penting ialah kami mampu menjadi tuan rumah yang baik dan mempromosikan bidang sukan,” jelasnya.

Temasya sukan itu bakal berlangsung di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos yang melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sebanyak 37 jenis sukan dipertanding membabitkan 488 acara iaitu 236 bagi atlet lelaki, 217 bagi atlet wanita manakala 35 lagi campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet serta pegawai.

BACA LAGI: Kementerian Komunikasi rancang guna teknologi 5.5G pada SUKMA Sarawak

Mengulas lanjut Abdul Karim berkata, kerajaan negeri melihat kepada limpahan ekonomi yang bakal dinikmati Sarawak susulan penganjuran SUKMA.

“Apa yang lebih penting bagi kami adalah limpahan daripada penganjuran SUKMA.

“Boleh anda bayangkan jika setiap individu yang hadir membelanjakan RM1,000 semasa acara itu? Manfaatnya amat besar kepada semua pihak dalam industri (dan ekonomi),” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai temasya itu semalam.

Related Articles

Back to top button