2,000 hadiri Tausiyah Perdana di Masjid Negeri Selangor
Kira-kira 2,000 jemaah menghadiri Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri malam tadi.
Program yang bermula selepas solat Maghrib itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah.
Majlis dimulakan dengan alunan Maulid Syarabut dan Qasidah disampaikan Kumpulan Darul al-Murtadza dan diteruskan dengan tausiyah bertajuk ‘Baiti Jannati Zaman Digital’ oleh Syeikh Dr Ali.
Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Amirudin dalam ucapan ringkasnya berkata topik kekeluargaan yang diketengahkan amat dekat dengan masyarakat selain isu pokok dalam membentuk peribadi manusiawi.
“Saya merafakkan rasa syukur kerana kita dapat berkumpul malam ini untuk mengisi program keilmuwan dengan mengulas isu pokok dalam kehidupan kita iaitu kekeluargaan.
“Hari ini di era digital, kita berdepan dengan masukan daripada pelbagai sudut dan ruang, dan sudah pasti tajuk ini sangat penting kerana kita bukan hanya ingin lepaskan diri kita sahaja tetapi juga keluarga kita,” katanya dipetik.
BACA LAGI: Festival Turath Islami Selangor pupuk budaya keilmuan, kukuh akidah umat Islam
Festival Turath Islami Selangor kali kedua ini membuka tirai 26 Mei hingga 2 Jun ini dengan menampilkan lebih 20 ulama, tokoh agamawan dan akademik.
Ia melibatkan 32 ativiti dalam 11 acara antaranya program Daurah Hadis 40, Pameran Al Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu, syarahan, Munaqasyah Ilmiah dan program selawat selain penglibatan 23 ulama serta ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara.
Festival ini dianggap titik penting kepada usaha memupuk budaya keilmuan sekaligus memperkukuh akidah umat Islam di dalam negeri dan negara.