Semasa

Agensi penguatkuasa diarah benteras, buru dalang curi diesel

Semua agensi penguatkuasa berkaitan sudah diarahkan untuk mempergiat operasi terhadap penyalahgunaan dan kecurian diesel di seluruh Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya komited untuk mengambil tindakan yang keras terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan mencuri diesel.

“… yakinlah bahawa kita akan melakukan segala yang terdaya untuk menjejaki mereka yang terlibat dan jika ditangkap bersama bukti, kita akan mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Kita tidak mahu melihat negara ditipu… kita mahu agensi penguatkuasa termasuk di Labuan agar mempertingkat operasi dan pemeriksaan bagi membanteras kegiatan mencuri diesel,” katanya.

Anwar berkata begitu pada Sesi Libat Urus Komuniti di Jabatan Laut Labuan pada Jumaat.

BACA LAGI: Kerajaan tidak mansuh pemberian subsidi diesel

Negara mengalami kerugian sebanyak RM4.5 juta disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel seludup ke luar negara setiap hari berdasarkan hasil daripada kajian yang diterbitkan di peringkat antarabangsa menerusi Majlis Perniagaan EU-Asean.

Mengulas lanjut Anwar menegaskan langkah membendung kecurian diesel adalah penting bagi melindungi kepentingan rakyat terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang banyak bergantung kepada diesel.

Justeru beliau menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang kejadian berkaitan kecurian diesel dan penyalahgunaan kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan keras yang diambil bagi menangani isu itu.

Related Articles

Back to top button