Menteri nasihat pelajar IPT guna baucar buku seiring hasrat Perdana Menteri
Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diingatkan agar tidak menyalahguna baucar buku RM100 yang diumumkan perdana menteri.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebaliknya berkata, pemberian itu wajar digunakan dengan membeli bahan ilmiah bermanfaat selari hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita mengharapkan agar kisah-kisah lama (salah guna) tidak berulang,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024, di Putrajaya semalam.
Beberapa tahun lalu media pernah melaporkan kegiatan penipuan membabitkan baucar buku yang diberi kerajaan.
Pelajar didakwa menukar baucar tersebut kepada wang tunai dengan nilai lebih rendah sekaligus memberi keuntungan mudah kepada kedai buku tidak bertanggungjawab.
Sementara itu Zambry ketika ditanya mengenai mekanisme pemberian baucar itu berkata, ia sudah dibincangkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Ttinggi, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
“Beliau (Zaini) akan umumkan apakah pendekatan atau langkah-langkah bagi membolehkan pelaksanaan (pemberian baucar buku) dapat disegerakan.
“Barangkali akan dibuat secara berperingkat sebagai contoh di peringkat universiti, politeknik dan sebagainya,” kata Zambri.
BACA LAGI: Dasar Buku Negara bakal diubah, pastikan ia terus releven
Anwar pada perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mengumumkan pemberian baucar tersebut.
Ia membabitkan semua pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah dan kira–kira 1.2 juta penerima institusi pengajian tinggi (IPT).
Pada pengumumannya, Anwar berharap baucar itu digunakan bagi membeli naskah-naskah berilmiah dan buku penulisan Sasterawan Negara.