Semasa

Perkhidmatan bekalan air, elektrik di Labuan bertambah baik – Dr Zaliha

Perkhidmatan air bersih dan bekalan elektrik di pulau bebas cukai Labuan telah berjaya ditingkatkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata ia hasil beberapa projek dilaksana melalui peruntukkan diumumkan Kerajaan MADANI pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai masalah gangguan bekalan air yang sering diperkata sebelum ini beliau menjelaskan antaranya disebabkan 64 peratus daripada paip sedia ada telah usang dan berusia lebih daripada 30 tahun.

“Alhamdulillah, sekarang ini kerja-kerja menaik taraf sedang giat dijalankan…Insya-Allah, projek menaik taraf dan mengganti paip sedia ada sepanjang 35 kilometer yang akan mengurangkan risiko gangguan bekalan air ini akan siap selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta pada tahun lepas untuk mengatasi isu bekalan air di Labuan,” katanya pada Majlis Santai Mesra Perdana Menteri Bersama Komuniti Labuan pada Jumaat.

Mengulas lanjut Dr Zaliha berkata penambahbaikan berterusan perlu dilaksana bagi memastikan penduduk Labuan terus menikmati kemudahan asas itu dengan lebih baik.

Empat isu utama akan difokuskan iaitu untuk membaik pulih aset-aset usang, menyediakan sistem penyimpanan air dan memastikan sumber bekalan air mentah mencukupi untuk kegunaan rakyat Labuan.

“Sebagai alternatif jangka pendek, pada suku pertama tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah mengedarkan 1,000 unit tangki air yang dibekalkan kepada 1,000 unit rumah yang sering terkesan dengan gangguan bekalan air untuk menampung keperluan sekiranya berlaku gangguan,” jelasnya.

BACA LAGI: Kementerian Wilayah garis 92 program tingkat landskap sosioekonomi Labuan

Menyentuh mengenai isu bekalan elektrik pula, secara puratanya Labuan memerlukan kapasiti elektrik dari 55 hingga 80 megawatt (MW) sehari.

“Alhamdulillah, sebanyak dua ladang solar telah siap dibangunkan untuk meningkatkan lagi keupayaan pembekalan elektrik di Labuan iaitu Ladang Solar Tanjung Kubong yang berkapasiti 5 MW dan Ladang Solar Bukit Kalam yang berkapasiti 10 MW.

“Hasil tinjauan yang dilaksanakan, selama empat bulan terkebelakang, berlaku pengurangan gangguan bekalan elektrik sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Perdana Menteri juga jelasnya telah mengumumkan pembinaan stesen janakuasa baharu menggantikan stesen janakuasa sedia ada di Patau-Patau dengan kapasiti penjanaan bekalan elektrik 100 hingga 130 MW.

Related Articles

Back to top button