Semasa

PM Anwar tidak mahu Labuan terus ketinggalan, lulus RM22 juta naik taraf perkhidmatan feri

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Labuan pada lawatan rasminya semalam membawa khabar gembira untuk penduduk pulau bebas cukai itu.

Ia susulan pengumuman Anwar bahawa Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM22 juta bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan sedia ada di Terminal Feri Roll-on Roll-off (Ro-Ro) di pulau itu.

“Bagi memastikan aliran trafik yang lancar di Terminal Ro-Ro Labuan, kami telah meluluskan peruntukan sebanyak RM22 juta untuk kerja-kerja menaik taraf.

“Saya telah mengarahkan supaya kesemua kerja-kerja naik taraf ini dipercepat… selain itu, saya telah mengarahkan agensi penguat kuasa tempatan agar meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan mereka di terminal itu,” katanya pada Sesi Libat Urus Komuniti di Jabatan Laut Labuan pada Jumaat.

Anwar turut menjelaskan, peruntukan itu bagi meningkatkan kemudahan, infrastruktur, jeti dan tanjakan feri di terminal berkenaan.

Sementara itu beliau turut menuntut perkhidmatan yang efisien daripada agensi penguat kuasa bagi menyelesaikan isu kesesakan di terminal itu dan bukannya bergantung semata-mata kepada infrastruktur baharu.

Anggaran masa sejam bagi waktu berlepas jelasnya boleh dipendekkan dengan menangani kelewatan yang disebabkan oleh pemeriksaan imigresen.

BACA LAGI: Peruntukan bertambah, masyarakat India terbela dibawah pentadbiran PM Anwar

Dalam perkembangan berkaitan perdana menteri turut mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan ekonomi Labuan.

Beliau memberi jaminan bahawa Labuan akan dilibatkan dalam pelbagai inisiatif kerajaan yang bertujuan menoktahkan kemiskinan.

“Saya tidak ingin melihat Labuan ketinggalan dalam agenda pembangunan ekonomi kerajaan termasuk program rasionalisasi subsisi diesel,” katanya

Related Articles

Back to top button