Atlet 400m wanita negara, Shereen perbaharui rekod kebangsaan di Tennessee
Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400 meter (m) pada Kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.
Menurut laman sesawang kejohanan https://live.pttiming.com, pada final yang berlangsung di Stadium Dean A. Hayes, Murfreesboro itu, Shereen menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 51.79 saat (s).
Catatan itu sekali gus memadamkan rekod 51.80s yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat pada April tahun lepas.
Bagaimanapun, atlet berusia 26 tahun dari Perak itu wajib mencatatkan masa larian sekurang-kurangnya 50.95s jika mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirai Julai ini.
Dalam pada itu, Leah Anderson dari Jamaica merangkul emas dengan catatan 51.67s manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah Na’asha Roinson dengan 51.82s dalam kejohanan tersebut.
Shereen yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual beraksi dalam dua lagi kejohanan dalam usaha untuk melepasi had kelayakan ke Paris.
Dia yang berada di bawah bimbingan jurulatih dari Amerika Syarikat, Darrick White akan menyertai Terbuka Malaysia di Kuantan dari 14 hingga 16 Jun ini dan Terbuka Kazakhstan di Almaty (23 hingga 24 Jun).