Enam anggota Mercy Malaysia selamat dibawa keluar dari Rafah – Wisma Putra
Enam anggota Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy Malaysia (EMT) telah berjaya dibawa keluar dari Rafah, selatan Gaza, Palestin dengan selamat.
Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan mengesahkan, kesemua mereka telah dibawa keluar dari zon konflik itu secara berperingkat bersama dengan petugas antarabangsa lain.
“Sebahagian ahli EMT ini dibawa keluar masing-masing pada 23, 24 dan 28 Mei 2024 manakala kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua orang ahli EMT dibawa keluar pada 31 Mei 2024,” kata kenyataan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan enam anggota MERCY Malaysia membabitkan lima doktor dan seorang pakar perubatan kecemasan, berada di Rafah sejak 1 Mei lalu.
Kehadiran mereka dibawah koordinasi serta naungan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah untuk merawat rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel di wilayah bergolak itu.
Dalam perkembangan terbaharu, beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan barat Rafah selepas tentera Israel meluaskan serangannya ke atas bandar itu yang menyebabkan angka korban terus meningkat.
BACA LAGI: Malaysia kecam serangan terbaharu Israel terhadap kem perlindungan Palestin
“Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia itu sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik,” tambah kenyataan itu.
Kementerian itu juga mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak melakukan sebarang perjalanan ke mana-mana zon konflik.