Semasa

Kerajaan tak kenakan kawalan terhadap bekalan beras putih tempatan

Kerajaan tidak mengenakan kawalan terhadap bekalan beras putih tempatan (BPT) seperti didakwa, tegas jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sebaliknya berkata, kerajaan telah mengambil sekurang-kurangnya tiga langkah untuk meningkatkan kuantiti bekalan BPT.

“Salah satunya adalah kerajaan telah mengubah suai kontrak-kontrak bagi agensi untuk membeli beras-beras import. Berkemungkinan, lebih 20,000 tan beras tempatan untuk kembali ke pasaran tempatan.

“Simpanan rizab beras tempatan juga telah mula dicairkan serta dibawa keluar daripada simpanan dan proses ini akan mengambil masa,” katanya dalam sidang media.

Beliau sebelumnya merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Sabtu.

Sebelum ini ada pihak mendakwa BPT hanya boleh diperolehi di program karnival jualan Madani.

BACA LAGI: Stok beras stabil, cukup untuk kegunaan semua rakyat – KPKM

Mengulas lanjut Fahmi berkata beliau akan akan memanjangkan isu-isu yang khusus berkaitan dengan beras tempatan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Kita akan melanjutkan perkara ini supaya mereka (KPKM) boleh mengambil beberapa tindakan untuk memastikan (beras tempatan) ada di pasaran,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kelemahan aspek penguatkuasaan dan pemantauan menyebabkan negara ‘kehilangan’ BPT di pasaran tempatan.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak lebih tegas dan kerap melakukan pemantauan dan tinjauan bukan sahaja mengenai soal beras sahaja sebaliknya barangan keperluan lain.

Related Articles

Back to top button