Teknologi

5G dwirangkaian : Fahmi optimis proses rasmi dibentuk selepas 21 Jun

Syarikat telekomunikasi (Telco) yang terbabit dalam pelaksanaan model 5G dwirangkaian bersedia untuk menandatangani pegangan ekuiti dalam syarikat Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkembangan itu sejajar dengan tempoh melengkapkan proses penyediaan share subscription agreement pengambilan equiti DNB menjelang 21 Jun ini.

“Semua syarikat telekomunikasi harus menyiapkan “share subscription agreement” pegangan ekuiti dalam DNB dan rata-rata mereka sudah bersedia untuk menandatanganinya.

“Rangkaian 5G ini paling bermanfaat kepada pihak industri dan PMKS (perniagaan mikro, kecil dan sederhana),” kata Fahmi kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NCT’ di Sport Arena Sentosa, Kuala Lumpur pada Ahad.

Fahmi sementara itu menyatakan keyakinannya selepas 21 Jun ini, proses rasmi membentuk rangkaian kedua itu dapat dimulakan.

Terdahulu Ahli Parlimen Lembah Pantai itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Empat kementerian telah mengadakan perbincangan menyeluruh bagi merangka strategi serta pelan tindakan dalam pelaksanaan model rangkaian tersebut.

Perbincangan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu jelasnya tertumpu kepada fungsi serta peranan keempat-empat kementerian utama itu dalam menjayakan pelaksanaan rangkaian itu.

BACA LAGI: Penyedia platform perlu hormati pendirian dan kedaulatan Malaysia

“Kerajaan komited untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G serta akan memastikan kemapanan ekosistem telekomunikasi dengan matlamat mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi serta kualiti hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook .

Pada Mei tahun lepas, kerajaan mengumumkan mengenai peralihan daripada model 5G secara rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model 5G secara dwirangkaian (DN).

Related Articles

Back to top button