Semasa

Jemaah terkandas selamat pulang, rakam penghargaan kepada PM Anwar

Jemaah haji yang sebelum ini dilapor terkandas di Makkah selama sebulan selamat dibawa pulang ke tanah air.

Pesara swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Mohammad bersama isterinya tiba di KLIA Terminal 2 pada 7 malam semalam menerusi penerbangan dari Singapura.

Bercakap kepada kepada pemberita sejurus tiba, Mohammad merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI kerana telah melancarkan urusan membawa pulang mereka.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ringkas.

Terdahulu, anak kepada pasangan itu yang dikenali sebagi Ena, 33, memaklumkan ibu bapanya berlepas ke Makkah pada 2 Mei lalu menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.

Setelah tiba ke Makkah, agensi pelancongan terbabit gagal menyediakan visa haji seperti dijanjikan dan mahu menarik diri untuk menguruskan perkhidmatan.

Agensi itu tidak memberikan kerjasama apabila diminta mengembalikan pasport sebaliknya mengenakan syarat supaya ibu bapanya menandatangi surat perakuan agar tidak mendedahkan perkara itu kepada awam.

Menurut Ena, situasi menimpa ibu bapanya membuatkan dia tidak keruan dan bertindak berhubung sendiri dengan wakil Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pada Rabu lepas.

“Saya mula berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah untuk terangkan situasi yang menimpa ibu bapa saya serta hampir 300 mangsa lain.

“Pihak konsulat sangat membantu dan hampir setiap hari akan hantar perkembangan urusan penghantaran ibu dan bapa saya termasuk gambar mereka kepada saya,” katanya yang merupakan penasihat undang-undang.

BACA LAGI: Keluhan pasangan terkandas di Makkah dapat perhatian Setiausaha Politik Perdana Menteri

Sementara itu Ena melahirkan lega dan bersyukur kerana akhirnya ibu bapanya dapat pulang ke tanah air.

“Sebelum ini, saya sekeluarga tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan mereka ketika terkandas hampir sebulan di tanah suci itu. Mereka hidup dalam ketakutan dan tidak keluar dari bilik.

“Mereka hanya makan mi segera sahaja dalam bilik hotel. Malah, orang ketuk pintu pun mereka tidak respon sebab mereka tidak ada pasport, tidak ada gelang, tidak ada apa-apa, sampai mereka kata rasa seperti pelarian,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button