Semasa

Kerajaan akan laksana Akta kawalan produk rokok mulai tahun ini – Menteri

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) sudah diwartakan Febuari lalu dan akan dilaksana mulai tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri Karnival World No Tobacco Day (WNTD SEGARUN) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.

“Kita jangka undang-undang ini akan mula dilaksana tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, akta itu antara lain memperuntukkan larangan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau serta menyediakan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak di bawah umur.

Bagaimanapun tegasnya, usaha melawan tabiat merokok memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat dengan penyertaan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru, peruncit, ahli politik, badan penguatkuasaan serta rakyat.

“Kita mesti bersatu padu dalam membendung budaya merokok dan vape. Justeru bagi yang tidak merokok, jangan mulakan. Bagi yang merokok pula, dapatkan perkhidmatan di fasiliti KKM dan sebagainya bagi menghentikan tabiat berkenaan,” katanya.

BACA LAGI: KKM akan mempergiat advokasi pencegahan merokokĀ 

Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 baru-baru jelasnya mendapati peratusan merokok dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun menurun daripada 13.8 peratus pada 2017 hingga 6.2 peratus pada 2022.

Sebaliknya penggunaan rokok elektronik atau vape meningkat 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).

“Ini mustahak atau ‘wake-up call’ kepada kita semua,” tegasnya sambil menyatakan komitmen kementerian menjalankan penguatkuasaan bagi membendung perkara itu.

Related Articles

Back to top button