Semasa

Pelajar OKU terharu, pencapaian cemerlang SPM dapat perhatian PM

Pelajar orang kurang upaya (OKU) fizikal yang mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu terharu susulan mendapat perhatian perdana menteri.

Raja Amirul Mukmin Raja Safari dipetik laporan media meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas keperihatinan yang ditunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Saya tidak menyangka kecemerlangan ini mendapat perhatian daripada pemimpin nombor satu negara. Ini merupakan satu anugerah yang tidak terhitung nilainya,” katanya yang mendapat keputusan 8A 1B dalam keputusan baru-baru ini.

Raja Amirul sebelumnya menerima kunjungan wakil Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang menyerahkan sumbangan wang tunai dan bakul makanan.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Saipul Bahari Ab Manaf dan Pengetua Sekolah Menengah Sains Machang, Muhammad Daud.

Sementara itu Raja Amirul yang diuji dengan kecacatan pada tangan kirinya tidak pernah menganggapnya sebagai halangan untuk mencipta kejayaan.

BACA LAGI: KPM bakal beri peluang calon tercicir daftar SPM secara ulangan – Fadhlina

Anak sulung daripada tiga beradik itu nekad mengubah nasib keluarga dengan membantu bapanya, Raja Safari Raja Ibrahim, 43, yang hanya bekerja mengambil upah mencuci kereta pada siang hari dan menjadi pengawal keselamatan sebelah malamnya.

“Hanya dengan cara ini saya dapat mengubah nasib keluarga serta menjadi contoh kepada dua lagi adik yang berusia tujuh dan 12 tahun,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia dan mengejar cita-cita untuk menjadi jurutera.

Related Articles

Back to top button