Nasional

Hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seumpama pencen apabila bersara

Data daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan satu daripada empat individu mengeluarkan duit simpanan mereka dan menghabiskannya dalam tempoh lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data agensi kerajaan itu juga mendapati ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara serta keperluan untuk mengurus diri semasa lanjut usia.

“Kajian turut mendapati 26.1 peratus daripada responden berumur 60 tahun ke atas pula akan terus bekerja sehingga kesihatan tidak lagi mengizinkan.

“Ini kerana mereka (individu usia 60 tahun ke atas) menghadapi cabaran dalam memastikan jaminan pendapatan untuk keperluan persaraan mereka.

“Warga emas juga lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding penduduk yang lain, dengan hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seumpama itu semasa bersara,” katanya dalam ucapan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, inisiatif mencari pembaharuan perlu giat dijalankan dalam rangka kerja persaraan bagi memastikan setiap generasi di Malaysia dapat melihat ke hadapan untuk menjadi warga tua yang lebih baik.

“Penyelesaian baharu diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial.

“Usaha perlu perlindungan KWSP secara berperingkat perlu diperluaskan supaya lebih ramai mereka yang bekerja dapat menjadi sebahagian daripada ekosistem KWSP.

“Ini sekali gus akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengumpul simpanan persaraan yang mencukupi untuk hari tua mereka,” katanya.

Related Articles

Back to top button