Global

Lebih sejuta rakyat Palestin diarah pindah secara paksa – UNRWA

Lebih sejuta rakyat Palestin telah meninggalkan Rafah di Semenanjung Gaza selepas diarah berpindah secara paksa, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Terdahulu, bandar kecil di hujung selatan semenanjung itu menjadi tempat berlindung kira-kira sejuta rakyat Palestin yang lari menyelamatkan diri daripada serangan Israel di kawasan lain sekitar Gaza.

Sejak awal bulan lalu, tentera Israel melancarkan operasi di bandar Rafah yang didakwa bertujuan memerangi Hamas dan memusnahkan infrastruktur kononnya digunakan oleh kumpulan pejuang yang memerintah Gaza itu.

Susulan itu, tentera Israel memaksa orang awam di Rafah untuk berpindah ke ‘zon kemanusiaan diperluas’ yang terletak sejauh kira-kira 20 kilometer dari bandar berkenaan.

Rata-rata rakyat Palestin menekankan hakikat mereka sudah berulang kali dipaksa pindah-randah di Semenanjung Gaza sepanjang tempoh sejak beberapa bulan lalu, namun tetap terdedah kepada serangan Israel walau berlindung di kawasan mana sekalipun.

UNRWA memaklumkan bahawa ribuan keluarga kini berlindung di kemudahan yang musnah atau rosak di bandar Khan Younis.

Di sana, agensi itu terus berusaha menyediakan perkhidmatan penting walaupun berdepan ‘cabaran yang semakin besar.’

“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keadaan terbabit,” menurut UNRWA lagi. – Reuters

Related Articles

Back to top button