Negeri

Pelaburan Google kukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat ekonomi negara

Pelaburan bernilai RM9.4 bilion oleh syarikat gergasi teknologi Google di Sungai Buloh, Selangor merupakan bukti keyakinan pelabur kepada potensi pembangunan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan & Perdagangan Selangor, Ng Sze Han berkata, seiring pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan semikonduktor di Puchong, pelaburan Google di Elmina Business Park itu turut meningkatkan daya tarikan Selangor termasuk tawaran kerja bernilai tinggi.

“Pelaburan Google untuk pusat data dan Google Cloud Region membawa kesan berganda kepada pelbagai industri terutama semikonduktor sekali gus mengukuhkan status Selangor sebagai pusat ekonomi negara.

“Perancangan pembangunan ini bergantung kepada teknologi semikonduktor yang canggih berikutan penggunaan meluas merangkumi AI (kecerdasan buatan),” katanya dipetik Selangorkini.

Google baru-baru ini mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak USD2 bilion (RM9.4 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia bagi menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara pada Khamis.

Ia susulan perbincangan diadakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet Inc (Alphabet), yang juga Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat.

BACA LAGI: PM Anwar bermesyuarat dengan syarikat gergasi teknologi, Alphabet & Google

Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI (kecerdasan buatan) untuk pelajar serta pendidik Malaysia.

Melalui pelaburan itu, ia dijangka akan menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor antaranya bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

Related Articles

Back to top button