Pelaburan sektor kesihatan, farmaseutikal sejajar komitmen negara pastikan kualiti hidup populasi menua – PM Anwar
Malaysia mesti mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur kondusif kepada penuaan aktif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dengan memperuntuk sumber dalam bidang tersebut, Malaysia boleh memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat, dianggarkan bernilai USD15 trilion.
Tambahnya, ia didorong keperluan dan keutamaan asas pengguna yang semakin tua.
“Pelaburan sedemikian bukan hanya menjanjikan pulangan besar malah sejajar komitmen Malaysia memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup populasi menua, selain memupuk pertumbuhan ekonomi mampan untuk negara,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2024.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah, dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga membangunkan ‘ekonomi perak’ di Malaysia.
Ekonomi perak merujuk aktiviti ekonomi yang direka bagi memenuhi keperluan golongan berusia lebih 50 tahun.
“Persediaan menjadi negara menua memerlukan pendekatan seluruh negara demi menambah baik kehidupan warga tua Malaysia dan masyarakat dunia,” katanya.