Semasa

PISMA bakal jadi panduan bangunkan bandar tahan bencana – Menteri Kerja Raya

Kerajaan bakal mengadaptasi Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) untuk untuk membangunkan bandar tahan bencana sekaligus menangani masalah banjir di kawasan bandar

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam ucapannya di pembukaan pleno Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) di Singapura berkata, perancangan guna tanah dalam rancangan struktur negeri dan rancangan tempatan akan diselaraskan, manakala sistem saliran di kawasan bandar akan diperbaiki bagi mengurangkan kejadian banjir besar.

“Bandar tahan bencana adalah aspek penting dalam pembangunan bandar, terutamanya di negara yang terdedah kepada bencana alam seperti Malaysia.

“Pelaburan dalam infrastruktur tahan bencana, sistem amaran awal termasuk penglibatan komuniti adalah kunci untuk membina keupayaan bandar untuk bertahan dan pulih daripada bencana,” katanya.

Dalam usaha itu kerajaan jelasnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan dasar untuk meningkatkan ketahanan di peringkat tempatan, termasuk Pelan Strategik Pengurangan Risiko Bencana yang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang merangkumi peningkatan infrastruktur kritikal untuk mengekang potensi bencana.

BACA LAGI: Persekutuan peruntukkan RM1.69 bilion untuk lima Projek Tebatan Banjir di Selangor

Manakala dibawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) , Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) diperkenalkan sebagai dasar 10 tahun.

Dasar itu dirumuskan untuk mencerminkan komitmen penuh kementerian dalam memudahkan pemain sektor menjadi lebih tangkas dan kompetitif dalam membangunkan infrastruktur yang mampan.

“Salah satu daripada empat strategi yang digariskan “Thrust Two NCP 2030″, menekankan pembangunan infrastruktur yang berkualiti, boleh dipercayai, mampan dan tahan bencana yang merupakan asas untuk mewujudkan bandar yang tahan bencana,” tambahnya.

Nanta berada di Singapura untuk mengetuai delegasi Malaysia ke WCS dan Forum Infrastruktur Asia (AIF) 2024, yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

WCS yang dianjurkan secara dwitahunan adalah platform eksklusif bagi pemimpin kerajaan dan pakar industri untuk menangani cabaran bandar yang boleh didiami dan mampan, berkongsi penyelesaian bandar bersepadu dan menjalin perkongsian baharu.

Related Articles

Back to top button