PRK Sungai Bakap: KEADILAN bakal pertaruh calon terbaik – Nurul Izzah
KEADILAN bakal mempertaruhkan calon boleh menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar berkata, lima nama telah dihantar untuk pertimbangan dan keputusan akhir pemilihan calon tersebut akan diputuskan pucuk pimpinan.
‘’ ‘Winnable’ (boleh menang), menyumbang serta mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat antara kriteria dalam memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
“Jadi ini bukan sesuatu yang mudah tapi kita perincikan secara serius (kreteria) sebelum memutuskan calon,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di George Town pada Isnin.
Terdahulu, Nurul Izzah menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang dipengerusikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi membincangkan calon yang akan mewakili mereka pada PRK Sungai Bakap.
Hadir sama, Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Pengerusi Amanah negeri, Muhammad Faiz Fadzil dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mohamad Abdul Hamid.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK Sungai Bakap.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
BACA LAGI: KEADILAN Pulau Pinang namakan lima calon
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada bekas calon PH yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu tersenarai dalam pemilihan kali ini, Nuruh Izzah berkata, sudah cukup memadai untuk dirinya memaklumkan mereka yang tersenarai adalah calon yang menyumbang kepada masyarakat.
“Memadai saya katakan mereka yang tersenarai itu ada perwakilan wanita dan lelaki daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.