Politik

PRK Sungai Bakap: UMNO gerak jentera bantu calon Pakatan Harapan

UMNO memberi jaminan akan menggerakkan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu akan mengatur strategi terbaik sepanjang tempoh tersebut demi melancarkan proses pilihan raya di DUN berkenaan.

Menurutnya, beliau bersama seorang lagi Ahli MKT iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah dihantar ke Sungai Bakap untuk mengadakan beberapa pertemuan berkaitan bagi memperincikan persiapan tersebut.

“UMNO akan membantu calon PH di Sungai Bakap. Ini adalah keputusan mesyuarat ‘war room’. (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hantar saya untuk bertemu UMNO Nibong Tebal manakala Datuk Seri Jamil Khir pula akan bertemu biro agama.

“Ini perbincangan awal kami. Insya-Allah, UMNO akan membantu dengan bersungguh-sungguh calon PH di Sungai Bakap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Seminar Jalan Bandar @ Penang 2024 di Butterworth Arena, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PH Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, secara tradisi kerusi itu ditandingi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan tiada mana-mana parti komponen lain dalam kerajaan menuntut untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Justeru, calon daripada KEADILAN akan mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang bagi bertanding pada PRK Sungai Bakap yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Related Articles

Back to top button