Nasional

Agong, Permaisuri berkenan terima Darjah Kebesaran Persekutuan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima Darjah Kebesaran Persekutuan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara pada Rabu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (DKM) dan Raja Permaisuri Agong berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).

“Darjah Kebesaran DKM dipersembahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Manakala Darjah Kebesaran DMN dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang ditabalkan menjadi Sultan dan Raja di negerinya serta orang-orang yang paling dihormati,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Awang Alik Jeman dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Related Articles

Back to top button