Semasa

Kerajaan MADANI komited memperbaiki mutu kehidupan warga emas – PM Anwar

Pihak swasta diseru untuk terbabit dalam pembangunan produk dan penyelesaian warga emas dan ‘silver economy’.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persediaan untuk beralih kepada status negara tua.

“Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan membangunkan ‘silver economy’ di Malaysia.

“Kerajaan menunggu lebih banyak pembabitan sektor swasta lain dan perlu mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang kondusif kepada penuaan aktif,” katanya dipetik laporan media.

Anwar sebelumnya hadir merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024 anjuran KWSP di Kuala Lumpur pada Selasa.

Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043, iaitu 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.

Menjelang 2060 pula, Malaysia dijangka akan mempunyai tiga orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas berbanding 10 orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas pada 2020.

“Nisbah kebergantungan warga emas di Malaysia diunjurkan akan berkurangan ketara daripada 10 orang dewasa bagi setiap warga emas pada 2020 kepada tiga orang dewasa untuk setiap warga emas pada 2060.

“Ini menandakan bahawa warga emas sudah tidak boleh bergantung kepada struktur keluarga untuk bantuan,” katanya.

BACA LAGI: Hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan apabila bersara

Mengulas lanjut, Anwar turut berharap syarikat swasta memberi keutamaan pelaburan dalam ‘silver economy’ untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang boleh membolehkan penuaan aktif dan sihat.

Penambahbaikan dalam kebolehcapaian teknologi katanya boleh mengatasi kemerosotan dalam mobiliti, pendengaran atau penglihatan malah boleh meningkatkan produktiviti warga emas di tempat kerja sekali gus membenarkan mereka menyumbang kepada tenaga kerja untuk tempoh yang lebih lama.

“Kerajaan Perpaduan komited untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia yang lebih tua dengan lebih inklusif dan adil untuk semua rakyat selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button