Semasa

Kerajaan rangka usaha bangunkan ekosistem tenaga hidrogen – Menteri MOSTI

Kerajaan Perpaduan sedang merangka pembangunan ekosistem dan nilai rantaian kenderaan berasaskan tenaga hidrogen.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, penggunaan teknologi hidrogen semakin meluas dan sedikit sebanyak akan memberi persaingan terhadap tenaga atau bahan api sedia ada seperti petroleum dan diesel.

Justeru, usaha itu akan memfokuskan kepada proses pembuatan dan penghasilan tenaga berkenaan dalam skala besar bagi menampung permintaan umum selari agenda dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) menjelang 2030.

“Projek ini dibangunkan secara berfasa. Walaupun bermula pada 2030 namun kita telah melepasi fasa pertama baru-baru ini yang melibatkan sesi ‘showcase’ atau pengenalan terhadap teknologi hidrogen (kenderaan) kepada umum.

“Kita nak rakyat faham dan mengetahui tenaga ini boleh digunakan.

“Untuk fasa kedua pula, kita akan bina ekosistem hidrogen itu secara menyeluruh yang turut membabitkan pembangunan bersepadu merangkumi aspek bekalan, pembuatan dan permintaan hidrogen itu sendiri termasuk kepada kenderaan hidrogen,” katanya pada satu sidang media di Kampar, Perak pada Selasa.

BACA LAGI: Kerajaan fokus agenda peralihan tenaga direncanakan melalui NETR

Pada 5 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik bagi melaksanakan HETR yang membolehkan negara meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya US$189.19 bilion menjelang 2050.

Pelaksanaan HETR dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Related Articles

Back to top button