Semasa

KESUMA bentang laporan pertama penubuhan Suruhanjaya Gig ke kabinet hari ini

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan laporan pertama mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia pada mesyuarat Kabinet yang dijadual hari ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, laporan yang disediakan dengan kerjasama Universiti Malaya itu merupakan kertas makluman kerangka kerja bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

“Nota ini akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan supaya perincian lanjut dan lengkap bagi menjurus kepada penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan.

“Seterusnya, siri dialog bersama pihak berkenaan juga akan diadakan ketika proses perincian dibuat, bagi memastikan penubuhan suruhanjaya ini dapat mencapai matlamatnya,” katanya selepas majlis pelancaran tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Grab Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG disegerakan untuk membela nasib kira-kira 1,2 juta pekerja dalam industri berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya ini bertujuan memastikan pekerja sektor berkenaan akan mendapat pembelaan, bukan sahaja dari segi gaji tetapi termasuk kebajikan, perlindungan keselamatan sosial, isu kilanan (tidak puas hati) dan bantuan kerjaya.

BACA LAGI: Penubuhan Suruhanjaya bukti kerajaan cakna nasib pekerja gig

Bulan lalu, kementerian itu dilapor menggariskan enam kerangka penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig termasuk menggubal perundangan baharu.

Kerangka itu turut membabitkan mekanisme kilanan, struktur dan fungsi suruhanjaya, implikasi kewangan, penentuan kadar upah, perlindungan keselamatan, sosial dan kesihatan pekerjaan serta pangkalan data bersepadu bagi pendaftaran pekerja gig dan penyedia platform.

Related Articles

Back to top button