Nasional

KPDN rampas 80,000 liter diesel dianggar bernilai RM320,000 di Labuan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas 80,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM320,000 dalam serbuan di Jeti Jalan Merdeka, pada Selasa.

Pengarahnya Junaidah Arbain berkata, dalam serbuan menerusi Ops Tiris pada 11 pagi itu, pasukan penguat kuasa KPDN menemukan minyak diesel yang disembunyikan di dalam empat tangki besar di atas sebuah kapal.

“Lelaki tempatan berusia 70 tahun dipercayai kru kapal berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Junaidah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 20 (1) akta sama kerana mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, KPDN Labuan akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti membabitkan barangan kawalan agar tidak berlaku penyelewengan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti melanggar perundangan boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui WhatsApp 019-2794317/019-8488000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau e-mel kepada [email protected] selain hadir ke mana-mana pejabat KPDN berdekatan.

Related Articles

Back to top button