Pasukan petugas pantau pokok teduhan bakal adakan mesyuarat pertama – Menteri Wilayah
Pasukan petugas yang ditubuhkan untuk memantau dan menyelenggara secara terperinci pokok-pokok teduhan di sekitar ibu negara bakal mengadakan mesyuarat pertama bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan khas itu ditubuhkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu melibatkan badan bukan kerajaan, arboris (pakar tumbuhan berkayu) dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga akan dijemput bagi menghadiri mesyuarat yang akan diadakan,” katanya dipetik laporan media.
Dr Zaliha sebelumnya hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) antara Perbadanan Putrajaya dan Tenaga Nasional Berhad di Putrajaya pada Selasa.
BACA LAGI: Menteri arah tubuh pasukan petugas untuk pantau, selenggara pokok teduh
Penubuhan pasukan petugas itu atas arahan Dr Zaliha susulan beberapa kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang termasuk pada 7 Mei lepas yang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail.
Selain akan memantau dan menyelenggara secara terperinci pokok-pokok di Kuala Lumpur, pasukan tersebut juga akan meneroka sistem penanaman dan penyelenggaraan pokok secara mapan dari luar negara.