Semasa

Pelbagai usaha dilaksana atasi isu bekalan air di Seberang Perai Selatan

Isu gangguan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang sentiasa dalam perhatian kerajaan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelbagai usaha dilaksana Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah tersebut sekaligus memberikan perkhidmatan kepada penduduk terjejas.

“Kita kena akui kawasan SPS juga sedang menikmati pembangunan agak baik, sebab itu keupayaan untuk tingkatkan kapasiti air perlu diutamakan.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang umumkan telah ada persetujuan dengan Perak untuk bekalkan air kepada Pulau Pinang,“ katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Bukit Panchor pada Selasa.

Sementara itu jelasnya, langkah-langkah mitigasi turut dilaksana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), ia termasuk meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor daripada 10 juta liter sehari (JLH) kepada 21 JLH dan beberapa lokasi seperti Taman Widuri disediakan pam tangki.

Akmal Nasrullah berkata pihaknya juga sedang menjalankan kajian menilai kemampuan Sungai Kerian sebagai kawasan pembangunan bagi LRA Sungai Kerian sebagai perancangan jangka panjang bagi mengatasi isu gangguan bekalan air.

BACA LAGI: Perkhidmatan bekalan air, elektrik di Labuan bertambah baik – Dr Zaliha

“Kajian itu akan mengambil masa enam hingga 12 bulan dan projek tersebut dijangka siap pada 2028 namun ia bergantung kepada proses pengambilan tanah di kawasan terbabit.

“Pada penghujung tahun lepas telah dibangkitkan kemampuan Sungai Kerian sebagai punca air bagi LRA yang baharu untuk SPS, jadi kita jalankan kajian dan ia perlukan tanah …di peringkat kerajaan negeri dan PBAPP, mereka akan mengemukakan cadangan dan kita serta SPAN akan teliti kebolehlaksanaannya,“ kata beliau.

Related Articles

Back to top button