Global

Pilihan raya India: Perikatan pimpinan Narendra Modi menang dengan majoriti tipis

Perdana Menteri, Narendra Modi berjaya meraih kemenangan majoriti bagi parti pimpinannya dan parti-parti bersekutu dalam pengumuman keputusan pilihan raya India pada Selasa, lapor saluran berita Channel News Asia.

“Rakyat India telah meletakkan kepercayaan mereka kepada NDA (Perikatan Demokratik Kebangsaan) buat kali ketiga berturut-turut,” kata Modi dalam ciapan di platform X.

“Ini adalah satu kejayaan bersejarah dalam sejarah India,” tambahnya.

Pengiraan undi yang hampir selesai pada malam semalam menunjukkan perikatan pimpinan Modi menang, meskipun dengan majoriti tipis.

Beliau meletakkan sasaran lebih 400 kerusi untuk NDA, namun mendahului sekurang-kurangnya 290 kerusi Parlimen daripada 543, demikian menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya semasa pengiraan undi mencapai tiga perempat daripada keseluruhan.

Parti Bharatiya Janata (BJP), di bawah pemimpin Modi bagaimanapun gagal memperolehi kuasa majoriti dalam perebutan kerusi Dewan Rendah Parlimen.

Sementara itu, pakatan pembangkang India yang diterajui oleh Parti Kongres pimpinan Rahul Gandhi mendahului lebih 230 kerusi undian, lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Gandhi menjelaskan bahawa Kongres akan mengadakan rundingan dengan sekutunya hari ini, selain memutuskan hala tuju seterusnya.

Pilihan raya India diadakan dalam tujuh fasa yang bermula dari 19 April dan berakhir pada 1 Jun lalu.

Lebih 640 juta rakyat India keluar mengundi dalam pilihan raya terbesar di dunia itu. – Agensi

Related Articles

Back to top button