Semasa

TPM nafi dakwaan Parlimen Muar terpinggir dari terima peruntukan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menolak dakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa Parlimen itu tidak mendapat sebarang peruntukan.

Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, diantara Januari hingga awal bulan ini, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan RM2.7 juta bagi pelaksanaan 60 projek atau program di kawasan parlimen tersebut.

“Peruntukan sebanyak RM2.7 juta itu termasuk sembilan projek naik taraf dan baik pulih masjid dengan kos RM741,000 serta 18 Projek Mesra Rakyat dengan kos RM800,000.

“Justeru, dengan dana sebanyak itu ia cukup membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan penduduk di mana-mana kawasan Parlimen, termasuk Parlimen Muar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Syed Saddiq dilapor media mendakwa, kawasannya masih belum menerima sebarang peruntukan walaupun sudah lapan bulan perkara itu dibincangkan.
.
Sementara itu tambah Fadillah selain RM2.7 juta itu, sebanyak RM30.39 juta peruntukan sudah diluluskan di bawah Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan Rolling Plan (RP4) Tahun 2024 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kawasan Parlimen Muar.

“Ia membabitkan keseluruhan sembilan projek dengan lima daripadanya dalam peringkat pembinaan, satu projek pra-pelaksanaan, dua pasca pembinaan dan satu projek Penggantian Mesin Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di bawah peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Lima projek dalam pelaksana ialah pembinaan Youth Hub Muar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Projek Meroboh dan Membina Semula Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Marin Johor ( peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Penggantian Mesin Computed Tomography (CT Scan) Di Hospital Sultanah Fatimah (KKM).

“Dua lagi dalam perlaksanaan ialah di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Medan Selera Jeti Pekan Panchor, Muar dan Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa, Muar,” jelasnya.

BACA LAGI: Kawasan pembangkang diberi peruntukan dalam bentuk projek pembangunan, bantuan terus

Selain itu, dua projek pasca pelaksanaan ialah Pembinaan Tabika Orang Asli Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Muar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Penambakan Pemecah Ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut, Muar di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Satu lagi projek iaitu Pembinaan Baraj Sungai Muar – Fasa 1 Perkhidmatan Perunding di bawah peruntukan PETRA juga dalam peringkat pra-pelaksanaan.

Related Articles

Back to top button