Global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia laporkan kematian pertama jangkitan selesema burung H5N2 kepada manusia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan kematian seorang mangsa akibat kes jangkitan manusia pertama yang disahkan oleh makmal dengan subjenis selesema burung A(H5N2) yang dilaporkan di seluruh dunia.

Kematian itu juga adalah jangkitan manusia pertama dengan strain virus H5 itu dilaporkan di Mexico.

Menurut WHO, mangsa yang juga penduduk Mexico berusia 59 tahun, sebelum ini dimasukkan ke hospital di Mexico City, meninggal dunia pada 24 April selepas mengalami demam, sesak nafas, cirit-birit, loya dan ketidakselesaan badan.

“Meskipun punca pendedahan kepada virus dalam kes terbabit pada masa ini tidak diketahui, virus A(H5N2) dilaporkan merebak dalam ternakan ayam dan itik di Mexico,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, mangsa tidak mempunyai sejarah terdedah kepada ayam itik atau haiwan lain.

Bagaimanapun, dia mengalami beberapa komplikasi perubatan asas dan terlantar selama tiga minggu disebabkan faktor lain, sebelum mengakibatkan mengalami gejala akut.

Pada Mac lalu, kerajaan Mexico melaporkan wabak A(H5N2) dalam unit keluarga terpencil di negeri Michoacan barat negara itu, tetapi berkata pada masa itu ia tidak menjadi risiko kepada ladang komersial yang jauh, mahupun kesihatan manusia.

Menurut WHO, selepas kematian pada April, pihak berkuasa Mexico mengesahkan kehadiran virus berkenaan dan melaporkan kes itu kepadanya.

Berdasarkan maklumat yang tersedia, WHO menilai risiko semasa kepada penduduk umum yang ditimbulkan oleh virus itu sebagai masih rendah.

Katanya, tiada kes lanjut dilaporkan semasa penyiasatan yang menguji individu bersentuhan dengan mangsa untuk jenis influenza serta Covid-19.

Kes selesema burung kini dikenal pasti dalam mamalia seperti anjing laut, rakun, beruang dan lembu, iaitu disebabkan sentuhan dengan burung yang dijangkiti.

Saintis sedang berjaga-jaga terhadap perubahan dalam virus yang boleh memberi isyarat, ia menyesuaikan diri untuk merebak dengan lebih mudah dalam kalangan manusia.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) melaporkan tiga kes jangkitan manusia selepas terdedah kepada lembu sejak wabak dikesan dalam lembu tenusu pada Mac lalu.

Dua daripadanya mengalami simptom konjunktivitis, manakala yang ketiga mengalami gejala pernafasan.

Australia melaporkan kes pertama jangkitan A(H5N1) pada manusia bulan lalu, namun menyatakan tiada tanda-tanda penularan.

Ia bagaimanapun menemui lebih banyak kes ayam itik selesema burung H7 ysng merebak ladang di negeri Victoria. – Reuters

Related Articles

Back to top button