Semasa

KESUMA bakal jalankan penilaian, pelarasan terhadap projek rintis Dasar Gaji Progresif

Kerajaan menyasarkan untuk melaksana Projek rintis Dasar Gaji Progresif sekurang-kurangnya selama tempoh setahun.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pada September ini kementeriannya akan membuat penilaian dan pelarasan berkaitan pelaksanaan projek rintis itu termasuk prosedur pendaftaran. Ia juga jelasnya untuk mendapatkan maklum balas peserta dan pemegang taruh terbabit.

“… hasrat kita adalah untuk meneruskan Dasar Gaji Progresif ini sebagai antara mekanisme bagi menambah baik kadar upah atau gaji pekerja di Malaysia.

“Meskipun (projek rintis Dasar Gaji Progresif) ini dihentikan, kadar (gaji) yang telah ditetapkan dalam syarat itu adalah kadar yang munasabah dan memang boleh ditanggung.

“Paling penting, kita nak lihat kepada kejayaan dasar ini sebagai antara usaha untuk meningkatkan gaji pekerja,” katanya.

Sim ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Projek Rintis Dasar Gaji Progresif, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Dasar Gaji Progresif merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari peningkatan produktiviti.

Projek rintis itu menyasarkan peningkatan gaji dan pengagihan pendapatan lebih seimbang sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.

BACA LAGI: Kerajaan sedia kaji cadangan gaji minimum oleh UNICEF – Menteri Ekonomi

Menurut Sim, setakat ini kira-kira 500 majikan telah mendaftar dan memohon menyertai projek rintis itu sejak pendaftarannya dibuka pada 1 Jun lalu.

Berdasarkan data statistik majikan berdaftar melalui Portal ASSIST PERKESO hingga 29 Mei 2024, sebanyak 290,659 majikan layak memohon insentif tunai melalui Dasar Gaji Progresif dengan anggaran 6,335,971 pekerja sektor formal menerima gaji antara RM1,500 dan RM4,999 sebulan.

Related Articles

Back to top button