Semasa

Draf pindaan Akta Perubatan 1971 sudah dikemuka kepada AGC untuk semakan

Draf Rang Undang-undang pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) telah disiapkan dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan itu yang bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway) dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang akan datang dan dibahaskan.

“Apa yang berlaku baru-baru ini dalam mesyuarat Kabinet, saya membentangkan bersama Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) satu Memorandum Jemaah Menteri terkait dengan kemelut latihan kepakaran atau parallel pathway.

“Di luar negara ada 14 program, 29 program Sarjana Perubatan dijalankan sembilan universiti tempatan dan kesemua itu kita garapkan sekali selepas KKM (Kementerian Kesihatan) berdepan dengan pelbagai kontroversi dan akhirnya merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Air Putih di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan, beberapa sesi libat urus telah dilaksana dengan pihak berkepentingan termasuk Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tujuan pindaan itu.

Isu parallel pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

BACA LAGI: Pindaan Akta 50 bakal lahir lebih ramai pakar perubatan

Ia selepas MMC menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

UiTM merupakan universiti tunggal di negara ini yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotoraks.

Related Articles

Back to top button