Mahasiswa bidas kenyataan Mahathir Mohamad
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menuduh mahasiswa tidak bersolidariti bersama Palestin.
Timbalan Presidennya, Mohamed Yusuf Hassan Roslan dipetik laporan media berkata, golongan mahasiswa sudah menunjukkan sokongan terhadap Palestin dalam banyak usaha termasuk melalui media sosial.
“Kita bersolidariti bukan dengan himpunan sahaja, tetapi kalau kita lihat di media sosial, kita memang sudah lakukannya.
“Kita buat hashtag, kita buat gambar, template dan sebagainya. Itu sudah tentu memberikan pendedahan kepada yang lain bahawasanya pelajar Malaysia serius dengan hal ini,” katanya sambil menegaskan kempen itu akan terus dijalankan pada masa akan datang.
Beliau menyatakan demikian pada Himpunan Solidariti Perdana Siswa Malaysia bersama Palestin di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada Jumaat.
Turut hadir pada himpunan tersebut adalah wakil-wakil universiti lain antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
BACA LAGI: Ulama Besar Australia anggap PM Anwar satu-satu pemimpin yang tegas bela Palestin
Pada 29 Mei lalu Dr Mahathir dilapor mendakwa penuntut universiti di negara-negara Islam tidak banyak memberikan reaksi berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin.
Sambil menyatakan kekaguman kepada kelompok pelajar di negara Barat itu berdemonstrasi menyokong Palestin, Mahathir mempersoalkan mengapa penuntut di Malaysia tidak melakukan tindakan serupa.