Semasa

Permodelan Maklumat Bangunan diperluas kepada projek kerajaan, swasta – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) diperluas kepada projek kerajaan dan swasta.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikannya semalam.

“Pada tahun ini, saya mengharapkan agar perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek serta program pembangunan kerajaan berjalan lancar berdasarkan perancangan secara bersepadu.

“Saya juga amat berpuas hati dengan pencapaian prestasi pembasmian kemiskinan yang menunjukkan penurunan yang drastik,” katanya sebagai mengulas mesyuarat tersebut yang bertanggungjawab kepada pelaksanaan dan hala tuju pembangunan negara.

BIM ialah proses penyediaan dan pengurusan model tiga dimensi (3D) berinformasi dalam kitar hayat pelaksanaan sesebuah projek, dengan model digital ini digunakan oleh pelbagai pihak untuk tujuan tertentu bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan aset menyeluruh.

Melalui hantaran sama, Anwar turut menekankan beberapa isu berkaitan kelewatan pelaksanaan projek yang menurutnya perlu diatasi segera secara berhemah menerusi perubahan proses kerja dan penggunaan teknologi baharu.

BACA LAGI: Selangor pastikan program keagamaan seiring pembangunan – Menteri Besar

“Semua kementerian, agensi dan pihak berkepentingan perlu bergerak seiring, secara terancang dan bersepadu.

“(Ia) bagi memastikan pencapaian dan keberhasilan perancangan dan pelaksanaan projek serta pembangunan negara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button