Negeri

Perobohan penempatan haram di Samporna dibuat atas faktor keselamatan – Christina

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew menegaskan keputusan perobohan 273 rumah penempatan tanpa izin di perairan Taman Marin Tun Sakaran di Samporna dibuat atas faktor keselamatan bagi mengekang kegiatan jenayah rentas negara.

“Kedaulatan undang-undang negara yang berkuat kuasa haruslah dipertahankan.

“Semua tindakan itu disetujui dalam beberapa sesi mesyuarat oleh agensi berkaitan seperti Taman-Taman Sabah, pejabat daerah dan polis termasuk lapan wakil komuniti Taman-Taman Sabah yang sah, juga sebulat suara meminta agar komuniti tanpa izin dikeluarkan segera dari kawasan diwartakan itu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kenyataan itu sebagai menjawab isu yang tular dalam media sosial berhubung pengosongan, perobohan serta pembakaran rumah di kawasan terbabit yang membangkitkan pelbagai reaksi.

Taman Marin Tun Sakaran merupakan satu daripada kawasan yang diwartakan sebagai kawasan Taman-Taman Sabah iaitu Taman Negeri dan kesalahan seperti menangkap ikan, membina struktur tanpa izin dan bercucuk tanam memberikan kuasa kepada Taman-Taman Sabah untuk mengambil tindakan sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Taman-Taman 1984.

Operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah Semporna, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Daerah Semporna termasuk Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

BACA LAGI: Keselamatan di sekitar perairan Kunak terjamin, penduduk tidak perlu bimbang

Mengulas lanjut Christina berkata, notis arahan pengosongan penempatan itu diedarkan dari 2 hingga 4 Mei lepas.

Susulan itu kerja-kerja merobohkan serta mengosongkan penempatan tanpa izin itu dilaksanakan bermula 4 hingga 6 Jun, dan 138 penempatan yang dibina di dalam kawasan panas dirobohkan, manakala baki penempatan lain diroboh sendiri pemilik terlibat.

Mengenai dakwaan anggota operasi membakar selepas merobohkan rumah itu, Liew berkata berdasarkan sumber polis, terdapat pemilik bertindak membakar rumah sendiri selepas ketiadaan pasukan operasi dan kejadian itu dirakam untuk tujuan tular melalui media sosial bagi meraih perhatian serta simpati warga siber.

Related Articles

Back to top button