Kerajaan komited pastikan kebajikan artis veteran – Fahmi Fadzil
Kerajaan komited memastikan kebajikan penggiat seni veteran tanah air sentiasa dijaga dan dibela.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beberapa perancangan telah diatur bagi menyantuni artis-artis veteran dan bakal dilaksana agensi di bawah kementeriannya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Langkah yang diatur itu jelasnya juga bagi membuka peluang untuk golongan itu kembali berkarya dalam industri.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan sangat prihatin dan cakna (tentang kebajikan mereka). Mereka (veteran) telah banyak turut terlibat dalam membina budaya negara kita…kita akan terus usahakan, Insya-Allah.
“Saya ingin lihat peluang dipanjangkan kepada lebih ramai, jadi kita akan teliti cara yang mampan untuk terus membantu mereka. Kita tidak mahu veteran kita diingat semasa zaman keemasan mereka sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu Fahmi menziarah dan menyampaikan sumbangan sebuah keyboard kepada komposer dan pemuzik terkenal era 80-an Roslan Ariffin Jamil, 62, atau lebih dikenali sebagai Ross Ariffin di kediamannya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Baru-baru ini, tular di media sosial kisah hidup menyayat hati Ross Ariffin yang tiada kediaman sendiri menyebabkan dia menjadi gelandangan sejak lebih tiga tahun lalu sehingga menarik perhatian ramai.
Ross Ariffin yang pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan aktif sebagai pemuzik undangan adalah komposer yang menciptakan lagu penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah Ariffin, Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff.
BACA LAGI: Fahmi simpati nasib Komposer Ross Ariff, usaha bantu sedaya upaya
Mengulas mengenai sumbangan tersebut Fahmi berkata ia diharapkan dapat terus membakar semangat Ross Arifin untuk kembali sihat dan terus menyumbang kepada industri muzik negara.
Beliau berkata Ross Ariffin telah menyampaikan hasrat untuk kembali aktif berkecimpung dalam mengolah muzik.
“Saya juga telah memberikan cadangan kepada Ross agar beliau memanfaatkan juga media sosial selain mengajar kelas muzik kepada anak-anak di PPR ini. Saya lihat ini adalah satu perkara yang positif dan saya harap ia akan dapat merapatkan hubungan beliau dengan komuniti setempat,” katanya.