Global

Lawatan Speaker Dewan Rakyat ke Jepun berjaya kukuh hubungan diplomatik

Lawatan rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun disifatkan telah berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara terutama kerjasama antara Parlimen.

Lawatan lima hari itu yang berakhir pada Jumaat itu atas jemputan rakan sejawatannya Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga untuk pertukaran ilmu untuk mewujudkan institusi Parlimen bertaraf dunia sekaligus meningkatkan kapasiti Ahli Parlimen dan petugasnya

Johari sebagai mengulas lawatan itu berkata, beliau berpeluang melawat perpustakaan Parlimen Jepun iaitu National Diet Library yang mempunyai enam juta naskhah penerbitan yang dianggap hebat.

“Separuh daripadanya sudah didigitalkan serta reka bentuk perpustakaan mereka sungguh hebat untuk memberikan keselesaan bukan sahaja kepada Ahli Parlimen, tetapi juga masyarakat yang memerlukan.

“Saya ingat (idea perpustakaan) ini kita boleh bawa balik segera dan terus kita rencanakan untuk membangunkan perpustakaan Parlimen yang lebih berfungsi, indah dan perancangan ini sudah ada dalam kepala,” katanya.

Kunjungan Johari ke negara matahari terbit itu juga telah berhasil meneroka serta memperluas kerjasama dalam bidang pertanian bagi manfaat bersama susulan lawatan Johari ke National Agriculture and Food Research Organization (NARO) dan Japan International Research Center for Agricultural Sciences (JIRCAS) di Tokyo.

“Dalam pertemuan dengan penyelidik, saya mengutarakan tentang ubi kayu sebagai alternatif kepada beras dan sudah tentu mereka percaya ia boleh dijadikan pilihan tambahan sementara usaha menggiatkan produktiviti beras,” katanya.

Turut menyertai delegasi berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) serta Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

BACA LAGI: Dewan Rakyat tegas, tidak akan tolak ansur dengan Ahli Parlimen tidak patuh peraturan

Johari turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Transformasi Digital Jepun Kono Taro. Pertemuan itu membuahkan hasil apabila menteri berkenaan menyatakan minat untuk bertukar kepakaran dan pengetahuan dalam membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan penggunaan yang beretika dan selamat demi manfaat kedua-dua warga Jepun dan Malaysia.

Mengakhiri lawatan rasmi ke Jepun, Johari meneroka penggunaan teknologi terapi ion berat dalam merawat pesakit kanser dengan lebih efektif dan mengurangkan kesan sampingan di Osaka Heavy Ion Therapy Center (HIMAK), yang merupakan pusat terapi ion berat pertama di wilayah itu.

Johari berkata rawatan sedemikian perlu turut diteroka Malaysia memandangkan penyakit kanser merupakan punca kematian keempat tertinggi di Malaysia.

Related Articles

Back to top button