Semasa

Malaysia perlu tingkat kemahiran tenaga kerja untuk penuhi keperluan pelabur

Semua pihak termasuk kerajaan dan agensi berkaitan perlu bersedia untuk peningkatan kemahiran tenaga kerja Malaysia, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran pelabur terdiri beberapa syarikat gergasi antarabangsa telah mewujudkan cabaran untuk Malaysia menyediakan pekerja-pekerja mahir.

“Kita ada ramai jurutera, syarikat Geely-Proton pernah beritahu saya, anda mempunyai jurutera yang cemerlang, tetapi kita perlu meningkatkan kemahiran latihan mereka untuk mencapai tahap pengkhususan yang diperlukan dalam industri automotif moden.

“Mereka setuju ambil 300 orang untuk dilatih di china, (jadi) fakulti kejuruteraan dalam bidang automotif harus lihat apa yang diperlukan, sebab itu saya kata dalam dunia pascanormal, kita lihat tahap kecepatan perubahan itu tidak pernah dilalui dan diduga sebelumnya.

“Kalau ikut cara lama, kita akan ketinggalan,” katanya dalam ucapan perasmian Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, pada Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Anwar pada ucapannya menolak tanggapan sesetengah pihak yang melihat pendidikan dalam bidang TVET hanya untuk pelajar yang lemah dalam akademik.

BACA LAGI: Kerajaan rangka usaha bangunkan ekosistem tenaga hidrogen

“Anak-anak ada minat, sebahagiannya minat falsafah sejarah, sebahagian matematik dan sains, sebahagian seni budaya, jadi kita harus salur mengikut bidang itu. Anak-anak umpamanya memilih untuk ke bidang pertukangan mekanik, automatif, penerbangan, AI, itu harus disalurkan dari awal.

“Ini tidak bermakna meninggalkan pendidikan asas STEM, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, pendedahan kepada Bahasa Inggeris, bidang ilmu yang diperlukan dalam dunia mencabar tetapi minat dalam teknikal, elektrikal, automotif, aeroangkasa dan digital itu kadang-kadang timbul sendiri.

“Ada satu kajian di Port Dickson yang mengejutkan saya, dilakukan di sekolah, anak-anak kampung tak begitu cemerlang akademik tapi cemerlang dalam coding, kalahkan anak-anak dalam bidang akademik. Jadi rugilah kita kalau tak salurkan anak anak ini ke bidang yang dianggap bidang sukar dalam amalan komputeran dan digital,” jelas beliau yang juga Menteri Kewangan.

Related Articles

Back to top button