PM Anwar umum RM200 juta sebagai pembiayaan tambahan program TVET
Perdana Menteri mengumumkan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijangka akan memanfaatkan kira-kira 13,000 orang pelajar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan pembiayaan itu pada perasmian Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Kuala Langat, Selangor pada Sabtu berkata, ia akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Pembiayaan itu meliputi program TVET dalam bidang berasaskan peralihan tenaga; industri berasaskan teknologi dan digital; industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi; pertanian dan industri asas tani; serta industri nadir bumi.
“Saya percaya ini disalurkan menerusi PTPK tapi saya serah kepada Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan untuk memutuskan keutamaan kerana kita nak (perkasa) bidang kenderaan elektrik (EV); keselamatan siber; kecerdasan buatan (AI); bahan termaju (advanced materials); teknologi elektronik mekanisasi ladang; dan automasi pertanian dan penternakan.
“Jadi kita luluskan peruntukan tambahan iniā¦ yang lain-lain yang dicadangkan tambahan untuk OKU, untuk orang asal, itu saya percaya selari dengan dasar kerangka ekonomi Madani.
“Saya fikir tiada masalah dan kita boleh luluskan kerana Timbalan Perdana Menteri mempunyai mandat penuh daripada Jemaah Menteri untuk laksanakan TVET dan beliau telah melakukan dengan jayanya dan membanggakan kita,” katanya.
BACA LAGI: JPA buka peluang golongan B40 lanjut pengajian peringkat diploma bidang TVET
Mengulas lanjut Anwar berkata, pembiayaan dalam bidang-bidang tersebut akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Ia juga merupakan usaha mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.