Semasa

KUSKOP salur lebih RM1 juta kepada koperasi terlibat Jualan MADANI Koperasi (JMK)

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah memperuntukkan insentif harga berjumlah RM1,044,000 kepada koperasi yang dilantik sebagai operator program Jualan MADANI Koperasi (JMK) kepada pengguna.

Timbalan Menterinya, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sepanjang tempoh Januari hingga 7 Jun lalu, sebanyak 36 program JMK telah diadakan di 19 kawasan Parlimen di seluruh negara dan memberi manfaat kepada 90,535 pengguna termasuk anggota koperasi dan masyarakat setempat.

“Program ini juga telah mencatat jumlah jualan sebanyak RM3.6 juta melalui 95 koperasi yang dilantik sebagai operasi jualan,” katanya.

Ramanan berkata begitu pada sidang media selepas mengadakan sesi jelajah mesra program JMK anjuran SKM sempena sambutan Aidiladha dihadiri Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar.
di Kota Damansara pada Ahad.

Pada majlis tersebut, Ramanan turut menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) kepada koperasi yang terjejas akibat bencana alam.

BACA LAGI: KUSKOP salur RM2 juta kepada Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi

Bantuan berkenaan meliputi sebahagian kos pembaikan kerosakan premis, aset atau produk koperasi.

“Sehingga kini, sebanyak 11 permohonan telah diluluskan di bawah TBKK yang melibatkan peruntukan berjumlah RM197,000 untuk seluruh Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button